JANUARI 2023

Sarawak Perlu Mekanik Kenderaan Elektrik, Hidrogen


KUCHING: Sarawak memerlukan mekanik dan juruteknik automotif yang terlatih dalam membaik pulih kenderaan berteknologi baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya membaik pulih kenderaan elektrik, hibrid dan hidrogen.

“Kini dengan adanya kenderaan elektrik  dan kereta hidrogen, kita memerlukan mekanik yang mempunyai pengetahuan tentang teknologi baharu ini," katanya pada Majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Ke-7 di Santubong, di sini.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata disiplin baharu berkaitan membaik pulih kenderaan terbabit perlu diajar kepada anak muda Sarawak.

Katanya, Sarawak mempunyai kekuatan dari segi sumber  menghasilkan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen yang bukan sahaja akan mengubah ekonomi global tetapi juga membantu perubahan iklim.

“Sarawak boleh memainkan peranan itu dengan menghasilkan tenaga hijau untuk dunia kerana kita mempunyai banyak air daripada  empangan hidro, hujan dan sungai," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan kemudahan ‘Green Energy Testbed and Precision & Discipline Agriculture Testbed’ oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di CENTEXS.

Acara itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) di antara CENTEXS dan rakan strategiknya iaitu Solarvest Borneo, Huawei, Curtin University Malaysia, Perkeso Sarawak, Asia e University dan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI).

Sumber dari : Jiwa Bakti